Aiman Batang Ai

From the Blog

np1451921717

“Sea Plane” untuk pelancongan S’wak

Taken from Utusan Sarawak
http://www.utusansarawakonline.com/news/31367/Sea-plane-untuk-pelancongan-Swak/

Tarikh Disiarkan : 05-Jan-2016

KUCHING: Perkhidmatan pesawat udara yang boleh mendarat di permukaan air (“sea plane”) bagi membawa pelancong ke lokasi menarik sekitar negeri ini sudah dicadangkan Kerajaan Negeri kepada MasWings. Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, MasWings kini masih mengkaji daripada segi faktor muatan pesawat itu daripada jenis Twin Otter, tetapi dipasangkan pelampung bagi membolehkannya mendarat di permukaan air.

“Saya sudah mencadangkan kepada MasWings dan mereka sedang melakukan kajian dari segi faktor muatan. Jika Mas- Wings tidak dapat melakukannya, saya akan menyarankan syarikat penerbangan Hornbill Skyways mengambil alih usaha ini,” katanya ketika menghadiri Majlis Penyerahan Pemilikan Batang Ai Resort and Retreat, di sini, semalam.

Dalam majlis itu resort berusia 20 tahun itu yang sebelum ini diuruskan Hotel Hilton diserahkan pemilikannya kepada Aiman Agro Park Sdn. Bhd. dan diuruskan anak syarikatnya, Planet Borneo Lodge Management Sdn. Bhd. Majlis itu dihadiri Penasihat Aiman Planet Borneo Group Of Companies Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Hakim Abang Mohideen, Pengarah Aiman Planet Borneo Group Of Companies Samat Othman, Pengarah Operasi Aiman Batang Ai Resort and Retreat Gracie Geikei serta Pengurus Besar Hilton Hotel Kuching dan wakil THR Sarawak Sdn Bhd John Warmington.

Abang Johari berkata, beliau yakin Hornbill Skyways sebagai syarikat penerbangan tempatan juga mampu menyediakan perkhidmatan terbabit kerana kos mengubah suai sebuah pesawat Twin Otter bagi dipasangkan pelampung hanya sekitar US500,000 sahaja.

“Ini berbaloi dengan manfaat besar penyediaan perkhidmatan pesawat itu kepada industri pelancongan tempatan seperti yang berlaku di Kepulauan Maldives yang kini dapat dikunjungi ramai pelancong asing selepas pihaknya mengadakan lawatan ke kepulauan terdrbut baru-baru ini. “Di Maldives bermula dengan dua pesawat sea plane sahaja yang mereka gelar teksi air, tetapi hari ini bilangan pesawat itu di Maldives semakin banyak.

Kali pertama saya melihat juruterbang memakai tali leher dan baju kapten, tetapi memakai seluar pendek dan selipar,” katanya. Johari berkata pakaian pelik itu adalah kerana juruterbang pesawat sea plane perlu mengikat pesawat terbabit pada jeti selepas mendarat seperti mengikat perahu. Katanya, berdasarkan pengalaman lawatan terbabit beliau yakin perkhidmatan sea plane juga boleh disediakan di negeri ini.

“Ini terutamanya membawa pelancong asing ke tasik besar di empangan Batang Ai, Bakun, Murun dan Baleh kerana pelancong terbabit dijangka meningkat tahun ini dengan bermulanya penerbangan Hong Kong ke Kuching sebanyak dua kali seminggu disediakan Hong Kong Airlines mulai April depan.

“Syarikat Hong Kong Airlines mempunyai 29 pesawat dan ada penerbangan ke 59 bandar raya di China, empat bandar raya di Jepun dan tiga di Korea. Pelancong dari negara ini gemar bermain golf dan bersedia berbelanja bagi menikmati alam semula jadi,” katanya. Selain itu, sebagai persiapan menerima ramai pelancong asing menggunakan penerbangan dari Hong Kong ke Kuching, beliau akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri bagi menswastakan pengurusan Gua Angin dan Gua Pari di Bau.

Johari berkata kedua-dua gua terbabit kekal sebagai aset Kerajaan Negeri, hanya pengurusan gua diserahkan kepada swasta supaya ada perkhidmatan dan kemudahan lebih baik kepada pelancong seperti pengurusan swasta di Aiman Batang Ai Resort & Retreat.

“Gua di Bau itu boleh bersaing dengan gua berbatu Stone Forest di Kunming, China dari segi keunikan batu kapurnya. Minggu lepas saya melawat kedua-dua gua itu dan mendapati tiada kemudahan termasuk tempat letak kereta dan papan tanda. Gua terbabit juga perlu perkhidmatan pemandu pelancong setiap hari,” ujarnya.

  • SERAH TERIMA… Abang Johari (tengah) menyaksikan penyerahan kunci Aiman Batang Ai Resort and Retreat antara John Warmington dengan Samat Othman (kiri). • NORDIN MD DIAH