Aiman Batang Ai

From the Blog

182999-img

Empat tasik dibangun sebagai tarikan pelancongan

Taken from Utusan Borneo Post

JANUARY 5, 2016

Empat tasik dibangun sebagai tarikan pelancongan:

Tasik-tasik itu ialah Batang Ai, Bakun, Murum dan Balleh yang wujud daripada pembangunan empangan

// Oleh Agnes Tugong //

Empat tasik dibangun sebagai tarikan pelancongan
PENYERAHAN: Warmington menyerahkan replika kunci kepada Samat (dua kiri) sambil disaksikan Abang Johari (tiga kiri), Pahon (kanan), Abang Ahmad dan Gracie.

KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan akan membangunkan empat tasik di pedalaman negeri ini sebagai tarikan utama bagi industri pelancongan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, empat tasik yang dimaksudkan ialah Batang Ai, Bakun, Murum dan Balleh yang wujud daripada pembangunan empangan.

“Dalam pada kita mengaut keuntungan daripada sumber air untuk menjana kuasa kita juga harus mengaut hasil pelancongan daripada tasik-tasik yang wujud ini.

“Ini akan menjadi satu daripada tarikan utama kita dalam pembangunan pelancongan bermula dengan Batang Ai bersambungan dengan Bakun terus ke Murum dan Balleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Batang Ai Longhouse Resort kepada pemilik baharu Aiman Agro Park Sdn Bhd di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Mengulas mengenai majlis itu, Abang Johari berkata ia merupakan langkah yang tepat oleh Aiman Agro Park Sdn Bhd ke arah memajukan lagi resort yang telah berusia 20 tahun itu.

Beliau turut yakin, di bawah pengurusan baharu ini, resort yang dinamakan semula kepada Aiman Batang Ai Resort and Retreat (ABARR) ini akan menjadi salah satu destinasi pilihan bagi pencinta alam semula jadi.

“Sebagaimana yang kita rancang sebelum ini, kita merancang untuk memperkenalkan pesawat kapal (ship plane) yang dapat mendarat di air di Batang Ai.

“Perkara ini telah kita cadangkan kepada MASwings untuk kajian tetapi jika syarikat ini tidak dapat melakukannya maka saya akan mencadangkan diambil alih oleh Hornbill Skyways.

“Jika pesawat kapal ini berjaya di Batang Ai saya yakin ia akan melonjakkan lagi aktiviti pelancongan di sini termasuk ABARR dan kawasan sekitar,” tambahnya.

Dalam pada itu, Batang Ai Longhouse Resort yang diuruskan oleh Hilton sebelum ini telah menjadi milik dan diurus oleh Aiman Agro Park Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Januari 2016.

Dengan slogan ‘Permulaan baharu, aspirasi diperbaharui’, ABARR bermatlamat menyediakan penginapan dan perkhidmatan kelas dunia.

Terletak di pinggir Taman Negara Lanjak Entimau di Lubok Antu dan menghadap Empangan Hidroelektrik Batang Ai, ABARR merupakan tempat ideal bagi mereka yang mencari ketenangan dalam suasana yang dikelilingi alam semula jadi.

Dibina dengan gaya rumah panjang, resort ini mempunyai 100 bilik termasuk suites lengkap dengan restoran, kolam renang, spa, bilik mesyuarat, gelanggang tenis dan banyak lagi.

Replika kunci diserahkan oleh Pengurus Besar Hotel Hilton Kuching John Warmington yang mewakili THR Sarawak Sdn Bhd kepada Pengerusi Kumpulan Syarikat Aiman Planet Borneo Samat Othman sambil disaksikan Abang Johari.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik, Penasihat Kumpulan Syarikat Aiman Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Hakim Abang Mohideen, Pengarah Operasi ABARR Gracie Geikie serta yang lain.